Selasa, 13 Oktober 2015

NAJIB PERLU BERUNDUR

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Gua Musang YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Ong Tee Keat, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafei Afdal, mengejutkan banyak pihak apabila muncul bersama pada satu sidang media semalam.

Mereka semua adalah bekas pemimpin tertinggi UMNO BN, yang tampil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan urusan pentadbiran dan ekonomi negara, khasnya isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Saya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merayu dengan sesungguhnya agar Datuk Seri Najib mendengar rayuan ini, sama ada daripada parti pemerintah, pembangkang, NGO serta rakyat seluruhnya supaya beliau meletak jawatan segera.

Kekusutan ekonomi, salah laku, tindakan kepada pegawai kerajaan khasnya peguam negara, ketua bahagian cawangan khas, siasatan terhadap SPRM, ditambah dengan pendedahan siasatan oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador, telah menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada Datuk Seri Najib.

Ia bukan berkait soal peribadi semata-mata kerana Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Sehingga kini sebarang tuduhan tidak dijawab, ditambah skandal bertimpa-timpa menyebabkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap kerajaan Malaysia tergugat. Kejatuhan nilai matawang Malaysia pula begitu ketara sekali.

Oleh itu, dengan penuh takzim, untuk menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya, saya menyeru Datuk Seri Najib melepaskan jawatan demi kebaikan kepada keluarganya, kerajaan, rakyat terbanyak dan negara.

Akhir-akhir ini pula, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib telah menggunakan akta SOSMA yang menyamai ISA untuk memadamkan suara kritikan rakyat terhadap diri beliau.

Semasa pembentangan di parlimen tahun lalu, SOSMA dijanjikan hanya akan digunakan terhadap mereka yang bertindak secara militan sama ada menegur atau menjatuhkan kerajaan. Tetapi kebelakangan ini, SOSMA digunakan termasuk kepada peguam yang rapat dengan Tun Mahathir Mohamad. Perbuatan ini tidak lain, hanya meruntuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap Datuk Seri Najib.

Oleh itu, demi kebaikan semua, dan demi kedaulatan rakyat seluruhnya, kami meminta Datuk Seri Najib, secara hormatnya dapat melepaskan jawatan Perdana Menteri. Kita mengharapkan seorang pengganti yang dapat memulihkan semula keadaan ekonomi, politik, keyakinan rakyat, serta menamatkan kritikan pihak luar terhadap negara.

Salam hormat dari Frankfurt, Germany.

"Harapan Baru"

"Islam Rahmat Untuk Semua"

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden,
Parti Amanah Negara
13 Oktober 2015
29 Zulhijjah 1436H

Ahad, 4 Oktober 2015

PAKATAN HARAPAN TAK MUNGKIN BERPECAH

Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menepis ramalan PAS partinya akan berpecah kerana Pakatan Harapan sama seperti Pakatan Rakyat (PR) sambil menyifatkan gabungan politik baharu itu merupakan 'gabungan' yang kukuh.

Kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Saifuddin menafikan penubuhan Pakatan Harapan merupakan tindakan tergesa-gesa apatah lagi bakal menerima nasib sama seperti PR.

Sebaliknya beliau berkata, Pakatan Harapan ditubuhkan berasaskan prinsip saling hormat-menghormati, membuat keputusan bersama dan patuh dengan kata sepakat tersebut.

Katanya Pakatan Harapan turut menganggap parti sekutu mereka sebagai rakan susah senang (‘partners in struggle’) dan bukannya musuh yang perlu diserang dan diperlekeh dan paling penting meraikan perbezaan pandangan serta tidak ghairah menghukum sesama sendiri.

"PKR menginsafi setelah berpecahnya PR berlaku kelompongan (vacuum) yang perlu diisi segera. Kelompongan kepimpinan dan kelompongan platform bersama.

"Oleh demikian PKR melalui Presiden parti Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil inisiatif membentuk sebuah pakatan politik baharu yakni Pakatan Harapan.

"Ketika Tuan Ibrahim berpendapat bahawa langkah ini tergesa-gesa, PKR percaya rakyat terbanyak menantikan kelahiran Pakatan Harapan," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Bekas setiausaha agung PKR itu berkata, ramalan Tuan Ibrahim kononnya parti reformasi itu akan berpecah gara-gara wujudnya sebuah "parti" yang ingin mendominasi seperti mana yang terjadi kepada PAS adalah tidak benar sama sekali.
"Pandangan ini meleset dan hanya terbit dari sebuah parti atau pemimpin yang mempunyai ‘siege mentality’.

"PKR yang lahir dari denyut nadi rakyat dengan agenda perubahan (reform) yang jelas, tidak akan terperangkap dengan ramalan sedemikian rupa," katanya.

Beliau yang mengulangi sekali lagi kekesalannya terhadap ramalan tersebut menyifatkan tindakan parti Islam itu sebagai keterlaluan terutamanya apabila PKR menganggap PAS sebagai rakan mereka.

"Biarpun perjalanan dan pengalaman PKR masih baru namun kita yakin PKR mampu melalui sedikit ujian kecil perbezaan pendapat dari kalangan pimpinannya dalam mendepani kelahiran Pakatan Harapan.
"Oleh itu meramalkan PKR bakal berpecah adalah keterlaluan apalagi kiranya datang dari parti yang menganggap PKR sebagai sahabat," katanya.

Terdahulu Tuan Ibrahim dalam kenyataannya memberikan amaran kepada PKR dengan menyatakan tidak mustahil bakal menerima nasib sama seperti parti Islam itu ketika Pakatan Rakyat berpecah, menyaksikan penubuhan parti serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah). – 3 Oktober, 2015.

Selasa, 29 September 2015

NILAI RINGGIT MERUDUM LAGI!

Hari ini Ringgit Malaysia berada di paras 4.47 berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Setahun lalu, pada September 2014, Ringgit hanya pada tahap 3.2 hingga 3.5 berbanding dolar AS.

Fundamentals' kepada ekonomi negara pada waktu itu dan sekarang adalah hampir serupa dan tidak banyak berbeza. Tetapi persoalannya, mengapa Ringgit sudah memasuki tahap 'freefall' seperti hari ini?

Ini lah akibatnya apabila persepsi terhadap pemimpin negara mempengaruhi persepsi terhadap negara. Persepsi dunia terhadap Perdana Menteri Malaysia ketika ini adalah beliau seorang perasuah tegar dan terlibat dalam penggubahan wang haram (money laundering). Pelabur mana tidak berasa curiga untuk membuat pelaburan dalam ekonomi negara jika persepsi tersebut wujud dan semakin menebal?

Kejatuhan Ringgit ke tahap freefall ini juga membawa makna bahawa Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah gagal dalam membawa kemakmuran kepada negara.

Ketika Najib mengambil tampuk kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2009, Ringgit berada di paras 3.5 berbanding dengan dolar AS. Hari ini pula sudah mencapai 4.41. Ini bermakna transformasi yang dibawa Najib seperti 1Malaysia, ETP (Economic Transformation Programme) dan GTP (Government Transformation Programme) telah gagal sama sekali.

Namun yang menerima padah daripada kegagalan Najibnomics ini adalah rakyat dan negara. Sementara Perdana Menteri dan isteri kesayangannya masih boleh ke sana dan ke sini dengan jet peribadi milik rakyat Malaysia.

7Dengan kegagalan sehingga tahap ini, sudah sampai masanya Najib berundur atau diundurkan. Najibnomics  kini sudah bertukar menjadi Najibcomics. Yang merana adalah rakyat.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
29 September 2015

Selasa, 22 September 2015

PAKATAN HARAPAN UNTUK RAKYAT

Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera. Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak.

Krisis yang melanda negara ini juga mendesak parti-parti pembangkang bersatu untuk lebih berkesan dalam menentang Umno/Barisan Nasional. Harapan rakyat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkan yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mengambil kira kepentingan rakyat yang utama ini, parti-parti yang hadir bersidang di dalam Rundingan Mejabulat yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) berkuatkuasa hari ini.

Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.

Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan Umno/Barisan Nasional tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.

Kami yakin kewujudan Pakatan Harapan akan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

YB SAUDARA LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

YBhg HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

22 September 2015

Sabtu, 19 September 2015

JANGAN BIARKAN ISLAMFOBIA BERLARUTAN

Bangsa Melayu terkenal dengan kehalusan budi. Bahkan sebelum kami berhijrah ke Islam, ramai antara kami tertarik mengenal Islam hasil kewibawaan akhlak Melayu.

Kami memartabatkan hak istimewa Melayu tetapi Allah SWT meletakkan setiap hak istimewa sebagai tanggungan di dunia yang akan di jawab di hadapan Allgah SWT kelak.

Maka, Melayu Muslim memikul tanggungan yang lebih berat untuk menunjukkan contoh sebagai khairu ummah. Ramai keluarga kami yang belum Muslim berusaha mengenal Islam. Jangan biarkan Islamofobia berlarutan bila segelintir umat Islam menghalalkan kata-kata kesat seperti Cina Babi dan menghalalkan rasisme dengan mengaitkannya dengan Islam.

Kami Pertubuhan Cina Muslim Malaysia atau MACMA, mempunyai 19 cawangan seluruh Malaysia, meminta pihak-pihak berkenaan untuk kembali menghayati Islam dan memohon maaf atas keterlanjuran kata.

Bak kata pantun Melayu:

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa.

Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat 49: 11 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mencemuh dan merendah-rendahkan kaum yang lain. Mungkin kaum yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka."

Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin, FASc
Presiden
Persatuan Cina Muslim Malaysia

KOMPLEKS PERKAYUAN KELANTAN BERKUBUR?

Saya telah mengirim surat memohon penjelasan mengenai beberapa isu yang saya kira penting dan perlu disegerakan berkait Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) kepada YAB MB Kelantan pada 7 September 2015.

Sehingga  hari ini (19hb September), saya tidak menerima apa-apa jawapan dari kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan.

Kedudukan KPK  sangat merosot bagi tahun tahun kebelakangan berbanding zaman kegemilangannya dahulu.

Satu cara untuk melihat kedudukan KPK ialah penyata untung rugi nya. Mengikut penyata kewangan yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) keuntungan KPK telah merosot dengan teruknya. Sebagai contoh, bagi tahun 2012 hingga tahun 2014 kedudukannya adalah seperti di bawah;

• 2012:

Pendapatan - RM24,673,571
Keuntungan Lepas Cukai - RM1,018,126

• 2013:

Pendapatan - RM14,745,426
Keuntungan Lepas Cukai - RM1,430,376

• 2014:

Pendapatan - RM12,923,615
Keuntungan Selepas Cukai - RM700,569

Dalam surat saya, saya telah memohon penjelasan mendesak iaitu kenapa KPK menyerahkan semua konsensi tebangan tahunannya seluas 2,000 ekar dengan harga yang sangat murah iaitu hanya RM 1,700 se ekar kepada syarikat lain.

Tindakan ini diikuti dengan pemberhentian  hampir kesemua pekerjanya. Syarikat menjadi seolah dormant dan tidak mempunyai apa-apa aktiviti lagi kecuali memungut bayaran atas konsensinya yang tidak seberapa.

Dalam kata lain, KPK telah berkubur!

Tetapi ada pihak lain yang akan terus mengaut kekayaan dari kawasan konsensinya setiap tahun!

Tidak kurang pentingnya adalah mengapa rancangan untuk mengutip  sejumlah RM 50 juta untuk Dana Rumah Mampu Milik Rakyat Kelantan gagal dan apa yg telah berlaku kepada kawasan hutan KPK seluas 20,000 ekar yang dikhaskan untuk tujuan itu.

Saya mengesyaki ada niat tersembunyi dari semua perkembangan ini ada kebocoran serius.

Sekalipun YAB MB tiada dalam negeri, saya yakin Pengerusi KPK sekarang dan bekas Pengerusi sebelum ini perlu mengambil tanggung jawab dan memberikan penjelasan penuh bagi pihak KPK.

Saya menuntut YB Zulkifli Mamat (bekas pengerusi dan ahli lembaga pengarah sekarang) dan YB Azami Mohd Nor ( Pengerusi kini) memberikan penjelasan terbuka yang diperlukan.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) juga dituntut untuk bertindak balas terhadap persoalan-persoalan yang saya bangkitkan dalam surat saya terdahulu.

Sekiranya tiada penjelasan memuaskan, saya akan mengambil tindakan lain seterusnya selepas satu tempoh dari kenyataan ini.

Sekian

Husam Musa
ADUN Salor
5 Zulhijjah 1436/19hb September 2015

Jumaat, 18 September 2015

AMANAH ALU ALUKAN SIDANG MEJA BULAT

Ketika menyampaikan Pidato Presiden pada Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (AMANAH) di Shah Alam, kelmarin, saya telah menegaskan betapa keperluan pakatan baharu perlu diwujudkan dengan segera.

Di Malaysia, apabila kita memilih cara demokrasi dan pilihan raya untuk memperoleh kuasa atau menambah kekuatan di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, maka tidak ada jalan lain melainkan mengadakan pakatan politik dengan parti-parti lain.

Untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN), parti-parti politik yang lain tidak boleh bersendirian, kerana BN menguasai sepenuhnya jentera kerajaan, media dan sebagainya. Hanya kesatuan rakyat melalui pakatan parti-parti politik sahaja jalan terbaik untuk membuat perubahan, seperti yang pernah dicapai Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Oleh itu, jemputan daripada Ketua Pembangkang Parlimen dan juga Presiden Parti Kedilan Rakyat, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail untuk diadakan sidang meja bulat membincangkan pembentukan pakatan baharu amat dialu-alukan.

Kami daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi komitmen penuh untuk hadir dan akan memberi pandangan-pandangan ke arah pembentukan pakatan baharu itu.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
18 September 2015