Selasa, 29 September 2015

NILAI RINGGIT MERUDUM LAGI!

Hari ini Ringgit Malaysia berada di paras 4.47 berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Setahun lalu, pada September 2014, Ringgit hanya pada tahap 3.2 hingga 3.5 berbanding dolar AS.

Fundamentals' kepada ekonomi negara pada waktu itu dan sekarang adalah hampir serupa dan tidak banyak berbeza. Tetapi persoalannya, mengapa Ringgit sudah memasuki tahap 'freefall' seperti hari ini?

Ini lah akibatnya apabila persepsi terhadap pemimpin negara mempengaruhi persepsi terhadap negara. Persepsi dunia terhadap Perdana Menteri Malaysia ketika ini adalah beliau seorang perasuah tegar dan terlibat dalam penggubahan wang haram (money laundering). Pelabur mana tidak berasa curiga untuk membuat pelaburan dalam ekonomi negara jika persepsi tersebut wujud dan semakin menebal?

Kejatuhan Ringgit ke tahap freefall ini juga membawa makna bahawa Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah gagal dalam membawa kemakmuran kepada negara.

Ketika Najib mengambil tampuk kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2009, Ringgit berada di paras 3.5 berbanding dengan dolar AS. Hari ini pula sudah mencapai 4.41. Ini bermakna transformasi yang dibawa Najib seperti 1Malaysia, ETP (Economic Transformation Programme) dan GTP (Government Transformation Programme) telah gagal sama sekali.

Namun yang menerima padah daripada kegagalan Najibnomics ini adalah rakyat dan negara. Sementara Perdana Menteri dan isteri kesayangannya masih boleh ke sana dan ke sini dengan jet peribadi milik rakyat Malaysia.

7Dengan kegagalan sehingga tahap ini, sudah sampai masanya Najib berundur atau diundurkan. Najibnomics  kini sudah bertukar menjadi Najibcomics. Yang merana adalah rakyat.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
29 September 2015

Selasa, 22 September 2015

PAKATAN HARAPAN UNTUK RAKYAT

Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera. Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak.

Krisis yang melanda negara ini juga mendesak parti-parti pembangkang bersatu untuk lebih berkesan dalam menentang Umno/Barisan Nasional. Harapan rakyat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkan yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mengambil kira kepentingan rakyat yang utama ini, parti-parti yang hadir bersidang di dalam Rundingan Mejabulat yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) berkuatkuasa hari ini.

Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.

Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan Umno/Barisan Nasional tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.

Kami yakin kewujudan Pakatan Harapan akan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

YB SAUDARA LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

YBhg HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

22 September 2015

Sabtu, 19 September 2015

JANGAN BIARKAN ISLAMFOBIA BERLARUTAN

Bangsa Melayu terkenal dengan kehalusan budi. Bahkan sebelum kami berhijrah ke Islam, ramai antara kami tertarik mengenal Islam hasil kewibawaan akhlak Melayu.

Kami memartabatkan hak istimewa Melayu tetapi Allah SWT meletakkan setiap hak istimewa sebagai tanggungan di dunia yang akan di jawab di hadapan Allgah SWT kelak.

Maka, Melayu Muslim memikul tanggungan yang lebih berat untuk menunjukkan contoh sebagai khairu ummah. Ramai keluarga kami yang belum Muslim berusaha mengenal Islam. Jangan biarkan Islamofobia berlarutan bila segelintir umat Islam menghalalkan kata-kata kesat seperti Cina Babi dan menghalalkan rasisme dengan mengaitkannya dengan Islam.

Kami Pertubuhan Cina Muslim Malaysia atau MACMA, mempunyai 19 cawangan seluruh Malaysia, meminta pihak-pihak berkenaan untuk kembali menghayati Islam dan memohon maaf atas keterlanjuran kata.

Bak kata pantun Melayu:

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa.

Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat 49: 11 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mencemuh dan merendah-rendahkan kaum yang lain. Mungkin kaum yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka."

Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin, FASc
Presiden
Persatuan Cina Muslim Malaysia

KOMPLEKS PERKAYUAN KELANTAN BERKUBUR?

Saya telah mengirim surat memohon penjelasan mengenai beberapa isu yang saya kira penting dan perlu disegerakan berkait Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) kepada YAB MB Kelantan pada 7 September 2015.

Sehingga  hari ini (19hb September), saya tidak menerima apa-apa jawapan dari kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan.

Kedudukan KPK  sangat merosot bagi tahun tahun kebelakangan berbanding zaman kegemilangannya dahulu.

Satu cara untuk melihat kedudukan KPK ialah penyata untung rugi nya. Mengikut penyata kewangan yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) keuntungan KPK telah merosot dengan teruknya. Sebagai contoh, bagi tahun 2012 hingga tahun 2014 kedudukannya adalah seperti di bawah;

• 2012:

Pendapatan - RM24,673,571
Keuntungan Lepas Cukai - RM1,018,126

• 2013:

Pendapatan - RM14,745,426
Keuntungan Lepas Cukai - RM1,430,376

• 2014:

Pendapatan - RM12,923,615
Keuntungan Selepas Cukai - RM700,569

Dalam surat saya, saya telah memohon penjelasan mendesak iaitu kenapa KPK menyerahkan semua konsensi tebangan tahunannya seluas 2,000 ekar dengan harga yang sangat murah iaitu hanya RM 1,700 se ekar kepada syarikat lain.

Tindakan ini diikuti dengan pemberhentian  hampir kesemua pekerjanya. Syarikat menjadi seolah dormant dan tidak mempunyai apa-apa aktiviti lagi kecuali memungut bayaran atas konsensinya yang tidak seberapa.

Dalam kata lain, KPK telah berkubur!

Tetapi ada pihak lain yang akan terus mengaut kekayaan dari kawasan konsensinya setiap tahun!

Tidak kurang pentingnya adalah mengapa rancangan untuk mengutip  sejumlah RM 50 juta untuk Dana Rumah Mampu Milik Rakyat Kelantan gagal dan apa yg telah berlaku kepada kawasan hutan KPK seluas 20,000 ekar yang dikhaskan untuk tujuan itu.

Saya mengesyaki ada niat tersembunyi dari semua perkembangan ini ada kebocoran serius.

Sekalipun YAB MB tiada dalam negeri, saya yakin Pengerusi KPK sekarang dan bekas Pengerusi sebelum ini perlu mengambil tanggung jawab dan memberikan penjelasan penuh bagi pihak KPK.

Saya menuntut YB Zulkifli Mamat (bekas pengerusi dan ahli lembaga pengarah sekarang) dan YB Azami Mohd Nor ( Pengerusi kini) memberikan penjelasan terbuka yang diperlukan.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) juga dituntut untuk bertindak balas terhadap persoalan-persoalan yang saya bangkitkan dalam surat saya terdahulu.

Sekiranya tiada penjelasan memuaskan, saya akan mengambil tindakan lain seterusnya selepas satu tempoh dari kenyataan ini.

Sekian

Husam Musa
ADUN Salor
5 Zulhijjah 1436/19hb September 2015

Jumaat, 18 September 2015

AMANAH ALU ALUKAN SIDANG MEJA BULAT

Ketika menyampaikan Pidato Presiden pada Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (AMANAH) di Shah Alam, kelmarin, saya telah menegaskan betapa keperluan pakatan baharu perlu diwujudkan dengan segera.

Di Malaysia, apabila kita memilih cara demokrasi dan pilihan raya untuk memperoleh kuasa atau menambah kekuatan di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, maka tidak ada jalan lain melainkan mengadakan pakatan politik dengan parti-parti lain.

Untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN), parti-parti politik yang lain tidak boleh bersendirian, kerana BN menguasai sepenuhnya jentera kerajaan, media dan sebagainya. Hanya kesatuan rakyat melalui pakatan parti-parti politik sahaja jalan terbaik untuk membuat perubahan, seperti yang pernah dicapai Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Oleh itu, jemputan daripada Ketua Pembangkang Parlimen dan juga Presiden Parti Kedilan Rakyat, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail untuk diadakan sidang meja bulat membincangkan pembentukan pakatan baharu amat dialu-alukan.

Kami daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi komitmen penuh untuk hadir dan akan memberi pandangan-pandangan ke arah pembentukan pakatan baharu itu.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
18 September 2015

Isnin, 14 September 2015

GHAIRAHNYA MAHU HANCURKAN RUMAHTANGGA

USTAZ AHMAD AWANG
Penasihat Umum Parti Amanah Negara

Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga bagi calon-calon PAS dalam pilihan raya umum yang lalu adalah suatu yang misteri.

Pimpinan pusat PAS berkali-kali menafikan wujudnya baiah tersebut sejak 2009 lagi.

Terbaru tiga hari yang lalu setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Datuk Nik Zawawi Salleh menegaskan bahawa mereka tidak pernah meluluskan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga itu.

Ini bererti PAS Kelantan tidak mematuhi keputusan MSU sekiranya benar baiah tersebut di kenakan ke atas wakil-wakil rakyat PAS di negeri tersebut.

Ini bermakna baiah sumpah baiah taklik talaq tiga tidak diperakui oleh ulama PAS sendiri.

Dan dengan sendirinya tindakan PAS Kelantan itu adalah bukti tidak walaknya mereka kepada kepimpinan ulama.

Maka tidaklah sepatutnya isu tersebut dibangkitkan oleh pimpinan PAS Kelantan khasnya apatah lagi pimpinan Pusat PAS amnya.

Kesungguhan sesetengah pemimpin PAS yang begitu ghairah mahu meruntuhkan rumahtangga di kalangan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang kini bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) menimbulkan kehairanan besar di kalangan masyarakat umum.

Seolah-olah mahu dipisahkan semua wakil-wakil rakyat ini dengan pasangan masing-masing tanpa sedikit pun ingin melihat hujah dan pandangan ahli fekah yang memberi jalan keluar kepada persoalan hukum menghiasi dada-dada media.

Tidaklah dinafikan adanya pendapat ahli fekah yang menghukumkan jatuh talaq dengan sumpah taklik oleh suami terhadap isterinya, tetapi ia tidak ada kena mengena dengan sifat taklik dalam baiah politik seperti yang dilakukan oleh PAS.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang bersungguh-sungguh ini seakan-akan mahu membalas dendam dan ‘gembira’ melihat rumahtangga sahabat yang dahulunya berjuang dalam PAS, runtuh dan musnah.

Seakan-akan tiada ruang untuk hujah menyelamatkan rumahtangga ini dikedepankan.

Islam diwajahkan dengan pandangan yang cukup jelek seolah-olah politik kepartian Islam ini kerjanya mencerai-berai rumahtangga orang semata-mata dengan cuba menjadikan perjuangan politik Islam sebagai alasan untuk mewajarkannya.

Institusi keluarga

Institusi keluarga merupakan entiti penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan negara, bahkan terhormat dan mulia kedudukannya di sisi Islam.

Melindungi keluarga termasuk dalam kategori melindungi kehormatan dan zuriat keturunan yang merupakan salah satu daripada maqasid (tujuan-tujuan) syariah yang lima perkara.

Jelas bahawa keutuhan integriti keluarga merupakan sesuatu yang dilindungi dalam syariat Islam.

Walaupun perceraian antara suami isteri dibolehkan dalam Islam tapi itu adalah perkara yang hanya wajar dilakukan dalam suasana yang amat mendesak dan tidak ada jalan keluar yang lain untuk mengatasi masalah rumahtangga.

Bahkan dalam masalah perbuatan ilaa’ atau bersumpah tidak menyetubuhi isteri dalam tempoh lebih empat bulan pun jelas kesukaan Allah terhadap pernikahan berbanding penceraian.

Allah S.W.T berfirman (Al-Baqarah, 226-227):

“...kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Dan pada waktu mereka berniat memilih talak, maka Allah berfirman:

“Dan jika mereka berazam (untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Syeikh Muhammad Shalih Al-Utsaimin menyebut dalam Durus wa Fatawa Haramul Makki:

“Ini menunjukkan bahawa Allah tidak suka terhadap orang yang memilih jalan talak daripada kembali menyambung tali pernikahan.”

Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap orang yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus adalah mempermain-mainkan kitab Allah.

“An-Nasai meriwayatkan dari Mahmud bin Labid: Bahawa ada seorang memberitahu kepada Rasulullah bahawa ada orang yang menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. Baginda bangkit dengan berang seraya berkata: Apakah ada yang berani mempermain-mainkan kitab Allah sedangkan aku masih hidup di kalangan kamu? Kemudian seorang bangun dan berkata di hadapan Rasulullah: Biar aku bunuh dia wahai Rasulullah?”

Walaupun akhirnya sahabat itu tidak dibenarkan meneruskan hasratnya untuk membunuh pihak yang menjatuhkan talak, peristiwa ini menunjukkan bahawa soal hubungan suami isteri dan keluarga sesuatu yang tidak wajar dihubungkaitkan dengan sebarang kepentingan politik kepartian.

Ini demi menjaga keutuhan dan nama baik keluarga itu sendiri.

Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 89:

“Allah tidak menghukum kamu lantaran sumpah-sumpah yang kamu lafazkan secara tidak sengaja, tetapi Dia menghukum kamu lantaran sumpah yang kamu sengajakan. Bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

"Sesiapa yang tidak berupaya untuk melunaskan denda tersebut, maka dia hendaklah berpuasa selama tiga hari. Ini sebagai denda penebus sumpah kamu apabila kamu terlanjur bersumpah. Oleh itu, berhati-hatilah apabila bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan titah perintah-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”

Umat Islam dituntut agar berhati-hati berkaitan dengan sumpah ini dan tidak bermudah-mudah mengheret institusi dan kehormatan keluarga dalam pertarungan politik kepartian.

Maksud firman-Nya: “Jagalah dan berhati-hatilah terhadap amalan sumpah di kalangan kamu.”

Dengan perkataan lain, jangan mempermudah dan memperbanyak sumpah dalam budaya hidup kamu.

Dalam sumpah laknat, rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya, sesuai dengan perutusan Islam itu sebagai Rahmat untuk seluruh alam.

Bermohon istighfarlah dengan Allah.

Sungguhpun mungkin si pelafaz sumpah telah memohon kecelakaan dan laknat terhadap dirinya, namun Allah bukan Tuhan yang suka-suka hendak menurunkan laknat kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Allah Maha Mengetahui bahawa sumpah itu bukanlah niat sebenar bagi calon itu melainkan hanyalah tatacara yang dipaksakan ke atasnya oleh partinya yang mahu memastikan calon itu patuh kepada parti berkenaan dan tidak melompat kepada parti lawan (Umno-BN).

Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang sama sekali tidak tunduk kepada kebencian dan kegeraman manusia pendendam yang mendoakan keburukan kepada orang yang hanya berbeza pendapat atau yang memasuki wadah politik Islam yang lain.

Apatah lagi si pelafaz sumpah berkenaan masih komited terhadap perjuangan Islam dengan wadah yang baru, bukanya melompat kepada parti lawan yang di maksudkan ketika melafazkan sumpah baiah dahulunya.

Realiti kerosakan masyarakat

Realitinya ketika ini, memang terdapat kerosakan masyarakat yang parah; rasuah dibudayakan demi memenangi tampuk kuasa dan pilihan raya.

Malah ada kerajaan yang sedia berkuasa di sesebuah negara lumrah membeli calon dan pemimpin dengan mengajukan rasuah bernilai jutaan ringgit.

Sehingga – dengan sebab itu – ada parti politik yang terlanjur melibatkan institusi keluarga untuk menjamin kesungguhan dan integriti calon mereka; agar tidak mudah dipujuk dan dibeli.

Mereka mengadakan semacam sumpah hingga mentaklikkan cerai isteri; baik satu atau tiga sekali gus dengan tindakan politik tertentu oleh penutur sumpah itu sendiri.

Amalan politik mempertaruhkan rumahtangga calon sememangnya tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Ia merupakan ciri warisan masyarakat jahiliah.

Kerana itu PAS sendiri melakukannya dalam keadaan misteri dan menyembunyikan amalan yang boleh mengaibkan imej parti.

Isnin, 7 September 2015

SENGAJA TEMPAH MAUT ?


WOW!!!,  Pas mahu meletakkan calonnya untuk bertanding kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini pada Pilihanraya umum ke 14 nanti. Begitulah kenyataan terbaru Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Menurut Abdul Hadi pihaknya kini sedang meneliti mengenai rancangan tersebut, termasuk pemilihan calon yang difikirkan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

Oh, patutlah nak lawan DAP sebab PAS sudah kuat, gagah, boleh bersendirian. Silalah Pas lawan DAP.

PAS pastinaya meletakkan calon bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas bagi mewakili parti itu berhadapan dengan DAP. Ertinya pertandingan tiga penjuru, BN, Pas dan DAP.

Betul ke nak lawan DAP ni, sudah buat kajian mendalam ke. Kot hilang wang deposit nanti.

“Pas tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calon kita, malah kini di peringkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihanaraya Pas dan pimpinan pusat untuk meletakkan calon bukan Islam bagi mewakili Pas.

“Saya yakin ada ramai wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas yang layak serta boleh diketengahkan menjadi calon kepada Pas nanti,” kata Ustaz Hadi Awang.

Kawasan yang dimenangi oleh DAP  adalah pengundi majoritinya bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Mampu ke Pas meraih kemenagan di situ?. Perkembangan politik semasa pengundi Cina sudah tidak percaya dengan Pas lagi, pastinya undi pun mereka tidak berikan .

Habis itu buat apa Pas bertanding di situ?. Pas mahu pecahkan undi agar BN boleh menang di situ ke?

Secara logiknya sukar bagi Pas untuk menang walaupun meletakan calon dari bukan Melayu di situ. Pas berangan angan boleh menang, hakikatnya Pas boleh kalah, mungkin hilang wang deposit jika letakkan calonnya di kawasan yang dimenangi DAP sebelum ini.

Pas hendak  berdakwah ke kepada bukan Islam masa kempen piliharaya nanti, nak berbicara soal hudud ke?. Atau sengaja untuk `berlawan' dengan DAP sebab DAP sudah jadi musuh nombor satu Pas?.

Mungkin Pas mahu mencipta sejarah baru, bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu dengan calonnya dari kalangan bukan Melayu juga.

Walaupun calonnya bukan Melayu, tetapi lambang parti bertanding tetap lambang bulan pernama, lambang PAs. Rasanya pengundi Cina tengok lambang Pas pun sudah `meloya' pastinya undi pun mereka tidak berikan.

Habis itu Pas nak dapat undi siapa. Mungkin dari undi Melayu kerana ada juga pengundi Melayu di kawasan Cina. Agak agaknya berapa  undi yang Pas dapat?

Di kawasan bercampur campur pengundi Melayu dan bukan Melayu pun Pas tewas sebelum bersama Pakatan Rakyat, ketika bersendirian dahulu. Sekarang mahu bersendirian untuk menentang DAP pulak di kawasan majoriti Cina pulak, `sengaja hendak tempah maut'.

Apa perkiraan dan perhitungan yang Pas buat sehingga berhajat besar untuk bertanding di kawasan DAP?.

Perkiraan rakyat yang logik akalnya, Pas jangan mimpi menang di kawasan bukan Melayu. Kalau bertanding juga, Pas sudah merelakan calonnya `tewas' sebelum hari pengundian.

     


Ahad, 6 September 2015

BA'AH TA'LIQ THALAQ TIGA SATU ' RAHMAT' ?

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) sangat memandang serius terhadap isu dan amalan Bai'ah Ta'liq Thalaq Tiga (BTT3)  yang kini semakin menjadi polemik serta bualan di kalangan rakyat tanpa mengira batasan umur, kaum, agama, latar belakang pendidikan dan sosial. Ia sama seperti polemik sodomi suatu ketika dahulu, yang akhirnya membawa kesan yang tidak manis kepada sosial rakyat apatah lagi cakap-cakap berkaitan liwat telah menjadi mainan  malahan senda gurauan termasuklah di kalangan anak-anak muda di peringkat sekolah rendah dan juga menengah.

AWAN mengingatkan kepada semua pihak khususnya pemimpin-pemimpin politik agar melihat impak berlapis dan impak berganda yang akan berlaku akibat daripada tindak tanduk masing-masing. Sangat mudah isu yang berligar di kalangan partisan politik untuk lekat menguasai bi'ah (persekitaran)  kehidupan rakyat apatah lagi bila pihak media turut memainkan peranan aktif dalam merancakkan perbualan mengenainya tanpa had, penuh prejudis dan lebih malang tanpa disiplin ilmu yang benar. Ta'liq thalaq bukanlah satu tajuk daripada premis ilmu yang santai, tetapi penuh disiplin yang perlu digunapakai.

Ia bukan satu kebanggaan sama ada oleh pihak yang mengadakannya ataupun oleh pihak yang dikenakan. Apatah lagi jika isu ini mengheret umum kepada perdebatan tanpa adab, penuh dendam dan bermudah-mudah. Ia sangat mengecewakan. Bahkan langsung tidak bantu menzahirkan keindahan serta kehebatan ilmu-ilmu dan praktis Islam.

AWAN menegaskan bahawa isu BTT3 ini yang sebenarnya telah meletus pada tahun 2009 telah pun ditolak amalannya oleh ramai pihak termasuklah oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNAA) sendiri. Malahan dinafikan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS dan dibincangkan secara serius di dalam Jawatankuasa PAS Pusat yang turut mendengar pandangan dan sikap daripada wakil sayap Muslimatnya pada waktu itu. Jelas amalan ini ditolak dan diminta untuk dihentikan atas hujjah ketidakwajaran mengheret institusi perkahwinan ke dalam percaturan politik parti dan kesetiaan seorang suami kepada perjuangannya. Jelas juga akan pendirian bahawa Wanita yakni seorang Isteri tidak sewajarnya menjadi mangsa taruhan dan terdedah kepada apa jua bentuk penganiayaan atas apa jua alasan serta  perhitungan politik mana-mana pihak. Kesannya jelas, semua negeri tidak lagi meneruskan amalan BTT3 kecuali Kelantan. Lantas persoalannya, adakah Kelantan tidak prihatin akan hal ini dan kepimpinannya mengambil mudah akan sikap dan pendirian yang telah dizahirkan oleh MSU PAS, PAS Pusat bahkan almarhum TGNAA sendiri? Sewajarnya itu disiasat. Bahkan banyak lagi persoalan daripada situ yang boleh kita majukan, tetapi cukuplah sekadar itu buat masa ini.

AWAN juga ingin menasihati pihak-pihak yang kelihatannya sangat ghairah dalam mengesahkan runtuhnya sebuah baitul muslim dengan jatuhnya thalaq melalui BTT3 tersebut dengan mengingatkan semua bahawa berdasarkan Enakmen Keluarga Islam  yang terpakai oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara, termasuk darihal mentalakkan isteri dengan 3 talak sekaligus, hukumnya hanya jatuh 1 talak sahaja. Ia juga adalah selari dengan satu hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, mafhumnya : "thalaq tiga sekaligus adalah berlaku satu thalaq".

Justeru, nasihat kami tanganilah isu ini dengan hikmah dan fathonah sesuai dengan fitrah agama ini yang senantiasa menunjukkan jalan keluar kepada setiap masalah rumit yang ada. Sekaligus untuk ini, AWAN ingin menegur Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang telah membuat "pre judgement" terhadap isu ini sebelum kes terbabit dirujuk ke hadapannya. Ia adalah suatu yang amat malang, apatah lagi pada ketika Kerajaan Kelantan sendiri sedang usaha mempromosikan pelaksanaan Hudud dan seterusnya keadilan undang-undang Islam.

Di satu sudut, AWAN turut memandang isu BTT3 ini juga sebagai rahmat daripada Allah buat ummat dan khususnya kepada para penggerak AMANAH NEGARA. Ini justeru kerana ia secara tidak langsung membantu kami menjelaskan akan kewajaran mewujudkan wadah baru politik Islam yang lebih telus, komited dan konsistan untuk menzahirkan Islam itu agama yang membawa rahmat dan sebaliknya bukannya agama yang memberi mudharat kepada setiap entiti yang membentuk kekuatannya.

AWAN mendesak agar Majlis Fatwa negara ini segera bersidang dan memberikan penegasan terhadap hal-hal yang berkaitan hukum hakam Islam agar henti dipolemikkan. Islam sewajarnya dilihat upaya menyelesaikan masalah ummah bukannya menjadi pencetus masalah di kalangan ummat.

Amanah. Progresif. Peduli.

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN)
6 September 2015

Sabtu, 5 September 2015

"TOLAK TAKLIK YANG MEMUDARATKAN"

Adalah sedia diketahui bahawa agama Islam amat menitikberatkan kerukunan hidup berkeluarga dan amat mementingkan hubungan yang irat antara pasangan suami isteri.

Justru apa jua perbuatan yang boleh membawa kepada keruntuhan sebuah keluarga dan kekeruhan hubungan di antara para anggotanya adalah sangat dibenci oleh Islam dan perlu dielakkan dengan apa jua cara yang boleh diusahakan.

Ini meliputi juga tindakan berbai'ah yang mengandung lafaz taklik dengan jatuh talak terhadap isteri semata-mata bertujuan memaksa kesetiaan seseorang kepada parti politik tertentu.
Taklik sebegini dianggap tidak islamik kerana bertentangan dengan "maslahah" yang ingin dipelihara oleh syarak termasuk maslahah keluarga. Ini berbeza dengan taklik yang diucapkan oleh suami ketika akad nikah dilangsungkan kerana ia bertujuan menghindarkan penganiayaan terhadap isteri oleh suami yang mengabaikan tanggungjawabnya, manakala taklik yang diucapkan oleh seorang angota parti politik boleh memudaratkan isteri dan anak-anak apabila pasangan terbabit "dipaksa" berpisah untuk mencegahnya darpada keluar parti atau bertukar wadah politik.

Anekmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam di beberapa buah negeri di Malaysia menyebut bahawa dalam mengeluarkan fatwa hendaklad diikut pandangan muktamat di dalam Mazhab Syafi'i.

Jika pandangan ini didapati tidak boleh membawa kepada tercapainya kepentingan umum (Maslahah 'Ammah) maka hendaklah dipakai pandangan muktamad dalam mana-mana mazhab Sunni yang empat. Jika ini juga tidak membawa kepada tercapainya maslahah maka bolehlah diijtihad (dengan menggunakan kaedah-kaedah Fiqah tertentu) supaya terhasilnya maslahah.

Maka dari sini kita berpendapat bahawa Anekmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri yang sedia ada memang memberi ruang kepada Mahkamah untuk membuat keputusan yang boleh mengelak daripada jatuhnya talak terhadap isteri seseorang yang telah mengungkapkan lafaz taklik yang boleh
meruntuhkan institusi keluarga serta mendedahkan anak-anak kepada masa depan yang tidak terjamin.

DATO' DR WAN SALIM WAN MOHD NOOR.
MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

Jumaat, 4 September 2015

HENTIKAN POLEMIK BAI'AH TALAK TIGA

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil memberikan pandangan terhadap isu baiah talak tiga yang sedang hangat diperkatakan. Isu ini mula diperkatakan sejak tahun 2009 ketika sebuah parti politik dikatakan mengambil baiah atau ikrar talak tiga ahli-ahlinya yang bertanding pilihan raya untuk mencegah kejadian lompat parti. Apabila rahsia ini terbongkar,  iamenjadi isu sensitif kerana tidak tergambar bagi kita semua bagaimana wanita yang seharusnya dimartabatkan dalam institusi keluarga Islam kini menjadi bahan dagangan  percaturan politik.

Hati kecil kami berasa lega apabila mendapat berita bahawa sebahagian alim ulama' berpandangan bahawa baiah seperti ini tertolak dan tidak boleh digunapakai. Namun, apa yang berlaku ialah pandangan   ini pula tidak diendahkan oleh  pihak yang berkenaan kerana masih ada suara yang terus-terusan mendesak agar baiah itu dilaksanakan. Mereka seolah-olah bergembira dan menunggu-nunggu runtuhnya mahligai kasih pasangan yang pernah menjadi sahabat seperjuangan mereka itu. Di mana hilangnya kewarasan dan perasaan setia kawan dan kemanusiaan? Tidakkah difikirkan kesan  negatif daripada desakan tersebut terhadap isteri, anak-anak dan keluarga sahabat terbabit?

Perkahwinan adalah sebuah insititusi suci lagi mulia dalam Islam. Ia ditegakkan di atas asas yang kukuh untuk melahirkan, membina dan memelihara individu yang akan menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat dan Negara.

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menegaskan bahawa :

1. Kami menentang sebarang tindakan yang menjadikan wanita dan insititusi keluarga  sebagai barang pertaruhan dan percaturan politik atas alasan apa sekalipun. Perbuatan ini bukan sahaja merendahkan martabat wanita, malah bertentangan dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang telah meletakkan wanita dan lelaki sama kedudukannya di hadapan Pencipta 'Azza wa Jalla; suatu syariat membawa rahmah bagi sekalian alam.

2. Apa yang telah berlaku perlu dirujuk kepada pihak berwajib dan berkuasa untuk membuat keputusan melalui ketetapan dan prosiding yang sewajarnya.

3. Kami menyeru semua pihak agar menghentikan polemik isu baiah talak tiga ini dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum dengan sewenang-wenangnya.

Sebenarnya masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan wanita dan keluarga pada tahap yang sebenar-benarnya sebagaimana yang dikehendaki Islam. Ayuh kita sama-sama berganding bahu membangun dan memartabatkan wanita.

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

4 September 2015

RUJUK ULAMAK MUKTABAR

Saya selaku Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) meminta semua ahli, khususnya mereka yang berasal daripada PAS dan kini menyertai parti Amanah, supaya mempunyai kesabaran paling tinggi terutama dalam menghadapi isu bai'ah ini.

Dalam menghadapi isu ini, saya menasihatkan ahli supaya berpeganglah kepada pandangan mana-mana ulamak atau mazhab atau perbezaan pandangan selagi ia ada kelonggaran.

Janganlah kita berpegang kepada satu-satu pandangan sahaja. Rujuklah kepada pandangan ulamak muktabar di Malaysia dan juga dari luar negara.

Bagi saya, pandangan Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin dan juga pandangan daripada Mufti Perlis dan Pulau Pinang harus diambil kira dalam hal bai'ah ini termasuk isu menceraikan isteri.

Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini, agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah, dan pada masa yang sama, berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara pandangan-pandangan ulamak yang boleh diterima pakai.

Sesungguhnya, ini adalah sebahagian ujian kecil yang sedang kita lalui bersama, dan banyak lagi ujian besar yang kita akan hadapi.

Paling penting adalah, untuk kita melepasi ujian-ujian ini dan pada masa sama mencapai keredhaan Allah sebagai matlamat tertinggi kita.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Pengerusi
Parti Amanah Negara
3 September 2015

Selasa, 1 September 2015

TAHNIAH GHB PARTI BARU DILANCAR

Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Haji Mohamad Sabu mengumumkan pelancaran parti baru yang dinamakan Parti Amanah Negara (PAN) sebentar tadi Hotel Vistana Kuala Lumpur.

Pelancaran PAN ini memang dinantikan oleh segenap rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk mengetahui nama dan hala tuju parti baru yang bakal ditubuhkan.

Parti baru yang ditubuhkan ini bukan parti yang baru didaftarkan sebaliknya ia adalah parti lama yang ditukar nama dan perlembagaannya. Parti yang diambil alih ialah Parti Pekerja. Langkah ini diambil disebabkan ROS tidak membenarkan penubuhan Parti Progresif Islam (PPI) seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.

Protem Parti Pekerja ini akan mengumumkan perlembagaan dan nama parti pada 16 September 2015. Pihak protem Parti Pekerja ini sedang giat menggubal perlembagaan parti baru ini.

Ternyata parti baru ini memang signifikan lebih-lebih lagi ianya mendapat sokongan padu dari DAP dan PKR serta NGO-NGO di Malaysia. Ia terbukti apabila program-program GHB mendapat sokongan dari DAP, PKR, NGO dan rakyat Malaysia pada program road show yang dianjurkan oleh GHB.

Begitu juga dalam himpunan BERSIH 4.0 semalam GHB dilihat mendapat sokongan padu dari demonstran yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (PAN)

Penasihat Umum : Ustaz Ahmad Awang

Pengerusi : Hj Mohammad Sabu
Timbalan Pengerusi : Hj Salahuddin Ayub

Naib Pengerusi :
Dato' Dr Mujahid Yusof
Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Ketua Wanita : Dr Mariah Mahmud
Ketua Pemuda : Mohd Sany Hamzan
Setiausaha : Mohd Anuar Tahir
Timb. Setiausaha : Abang Ahmad Kardee Abang Masagus
Bendahari : Hj Asmuni Awi
Setiausaha Organisasi : Suhaizan Kaiat

Ahli Jawatankuasa :

Dr Mohd Hatta Ramli
Ir Khalid Samad
Ir Izham Jashim
Hj Adly Zahari
Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi
Dato Seri Muhammad Nizar Jamaluddin
Mazlan Aliman
Aminolhuda Hassan
Mohd Hanipa Maidin
Dato' Fakhrulrazi Zawawi
Saari Sungib
Zulkifli Mohd Omar
Hu Pang Chaw
Dato Wan Abd Rahim Abdullah
Hasnul Baharuddin