Selasa, 13 Oktober 2015

NAJIB PERLU BERUNDUR

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Gua Musang YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Ong Tee Keat, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafei Afdal, mengejutkan banyak pihak apabila muncul bersama pada satu sidang media semalam.

Mereka semua adalah bekas pemimpin tertinggi UMNO BN, yang tampil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan urusan pentadbiran dan ekonomi negara, khasnya isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Saya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merayu dengan sesungguhnya agar Datuk Seri Najib mendengar rayuan ini, sama ada daripada parti pemerintah, pembangkang, NGO serta rakyat seluruhnya supaya beliau meletak jawatan segera.

Kekusutan ekonomi, salah laku, tindakan kepada pegawai kerajaan khasnya peguam negara, ketua bahagian cawangan khas, siasatan terhadap SPRM, ditambah dengan pendedahan siasatan oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador, telah menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada Datuk Seri Najib.

Ia bukan berkait soal peribadi semata-mata kerana Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Sehingga kini sebarang tuduhan tidak dijawab, ditambah skandal bertimpa-timpa menyebabkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap kerajaan Malaysia tergugat. Kejatuhan nilai matawang Malaysia pula begitu ketara sekali.

Oleh itu, dengan penuh takzim, untuk menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya, saya menyeru Datuk Seri Najib melepaskan jawatan demi kebaikan kepada keluarganya, kerajaan, rakyat terbanyak dan negara.

Akhir-akhir ini pula, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib telah menggunakan akta SOSMA yang menyamai ISA untuk memadamkan suara kritikan rakyat terhadap diri beliau.

Semasa pembentangan di parlimen tahun lalu, SOSMA dijanjikan hanya akan digunakan terhadap mereka yang bertindak secara militan sama ada menegur atau menjatuhkan kerajaan. Tetapi kebelakangan ini, SOSMA digunakan termasuk kepada peguam yang rapat dengan Tun Mahathir Mohamad. Perbuatan ini tidak lain, hanya meruntuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap Datuk Seri Najib.

Oleh itu, demi kebaikan semua, dan demi kedaulatan rakyat seluruhnya, kami meminta Datuk Seri Najib, secara hormatnya dapat melepaskan jawatan Perdana Menteri. Kita mengharapkan seorang pengganti yang dapat memulihkan semula keadaan ekonomi, politik, keyakinan rakyat, serta menamatkan kritikan pihak luar terhadap negara.

Salam hormat dari Frankfurt, Germany.

"Harapan Baru"

"Islam Rahmat Untuk Semua"

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden,
Parti Amanah Negara
13 Oktober 2015
29 Zulhijjah 1436H

Ahad, 4 Oktober 2015

PAKATAN HARAPAN TAK MUNGKIN BERPECAH

Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menepis ramalan PAS partinya akan berpecah kerana Pakatan Harapan sama seperti Pakatan Rakyat (PR) sambil menyifatkan gabungan politik baharu itu merupakan 'gabungan' yang kukuh.

Kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Saifuddin menafikan penubuhan Pakatan Harapan merupakan tindakan tergesa-gesa apatah lagi bakal menerima nasib sama seperti PR.

Sebaliknya beliau berkata, Pakatan Harapan ditubuhkan berasaskan prinsip saling hormat-menghormati, membuat keputusan bersama dan patuh dengan kata sepakat tersebut.

Katanya Pakatan Harapan turut menganggap parti sekutu mereka sebagai rakan susah senang (‘partners in struggle’) dan bukannya musuh yang perlu diserang dan diperlekeh dan paling penting meraikan perbezaan pandangan serta tidak ghairah menghukum sesama sendiri.

"PKR menginsafi setelah berpecahnya PR berlaku kelompongan (vacuum) yang perlu diisi segera. Kelompongan kepimpinan dan kelompongan platform bersama.

"Oleh demikian PKR melalui Presiden parti Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil inisiatif membentuk sebuah pakatan politik baharu yakni Pakatan Harapan.

"Ketika Tuan Ibrahim berpendapat bahawa langkah ini tergesa-gesa, PKR percaya rakyat terbanyak menantikan kelahiran Pakatan Harapan," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Bekas setiausaha agung PKR itu berkata, ramalan Tuan Ibrahim kononnya parti reformasi itu akan berpecah gara-gara wujudnya sebuah "parti" yang ingin mendominasi seperti mana yang terjadi kepada PAS adalah tidak benar sama sekali.
"Pandangan ini meleset dan hanya terbit dari sebuah parti atau pemimpin yang mempunyai ‘siege mentality’.

"PKR yang lahir dari denyut nadi rakyat dengan agenda perubahan (reform) yang jelas, tidak akan terperangkap dengan ramalan sedemikian rupa," katanya.

Beliau yang mengulangi sekali lagi kekesalannya terhadap ramalan tersebut menyifatkan tindakan parti Islam itu sebagai keterlaluan terutamanya apabila PKR menganggap PAS sebagai rakan mereka.

"Biarpun perjalanan dan pengalaman PKR masih baru namun kita yakin PKR mampu melalui sedikit ujian kecil perbezaan pendapat dari kalangan pimpinannya dalam mendepani kelahiran Pakatan Harapan.
"Oleh itu meramalkan PKR bakal berpecah adalah keterlaluan apalagi kiranya datang dari parti yang menganggap PKR sebagai sahabat," katanya.

Terdahulu Tuan Ibrahim dalam kenyataannya memberikan amaran kepada PKR dengan menyatakan tidak mustahil bakal menerima nasib sama seperti parti Islam itu ketika Pakatan Rakyat berpecah, menyaksikan penubuhan parti serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah). – 3 Oktober, 2015.