Selasa, 29 September 2015

NILAI RINGGIT MERUDUM LAGI!

Hari ini Ringgit Malaysia berada di paras 4.47 berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Setahun lalu, pada September 2014, Ringgit hanya pada tahap 3.2 hingga 3.5 berbanding dolar AS.

Fundamentals' kepada ekonomi negara pada waktu itu dan sekarang adalah hampir serupa dan tidak banyak berbeza. Tetapi persoalannya, mengapa Ringgit sudah memasuki tahap 'freefall' seperti hari ini?

Ini lah akibatnya apabila persepsi terhadap pemimpin negara mempengaruhi persepsi terhadap negara. Persepsi dunia terhadap Perdana Menteri Malaysia ketika ini adalah beliau seorang perasuah tegar dan terlibat dalam penggubahan wang haram (money laundering). Pelabur mana tidak berasa curiga untuk membuat pelaburan dalam ekonomi negara jika persepsi tersebut wujud dan semakin menebal?

Kejatuhan Ringgit ke tahap freefall ini juga membawa makna bahawa Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah gagal dalam membawa kemakmuran kepada negara.

Ketika Najib mengambil tampuk kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2009, Ringgit berada di paras 3.5 berbanding dengan dolar AS. Hari ini pula sudah mencapai 4.41. Ini bermakna transformasi yang dibawa Najib seperti 1Malaysia, ETP (Economic Transformation Programme) dan GTP (Government Transformation Programme) telah gagal sama sekali.

Namun yang menerima padah daripada kegagalan Najibnomics ini adalah rakyat dan negara. Sementara Perdana Menteri dan isteri kesayangannya masih boleh ke sana dan ke sini dengan jet peribadi milik rakyat Malaysia.

7Dengan kegagalan sehingga tahap ini, sudah sampai masanya Najib berundur atau diundurkan. Najibnomics  kini sudah bertukar menjadi Najibcomics. Yang merana adalah rakyat.

Amanah. Progresif. Peduli.


SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
29 September 2015

Selasa, 22 September 2015

PAKATAN HARAPAN UNTUK RAKYAT

Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera. Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak.

Krisis yang melanda negara ini juga mendesak parti-parti pembangkang bersatu untuk lebih berkesan dalam menentang Umno/Barisan Nasional. Harapan rakyat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkan yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mengambil kira kepentingan rakyat yang utama ini, parti-parti yang hadir bersidang di dalam Rundingan Mejabulat yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) berkuatkuasa hari ini.

Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.

Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan Umno/Barisan Nasional tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.

Kami yakin kewujudan Pakatan Harapan akan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

YB SAUDARA LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

YBhg HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

22 September 2015

Sabtu, 19 September 2015

JANGAN BIARKAN ISLAMFOBIA BERLARUTAN

Bangsa Melayu terkenal dengan kehalusan budi. Bahkan sebelum kami berhijrah ke Islam, ramai antara kami tertarik mengenal Islam hasil kewibawaan akhlak Melayu.

Kami memartabatkan hak istimewa Melayu tetapi Allah SWT meletakkan setiap hak istimewa sebagai tanggungan di dunia yang akan di jawab di hadapan Allgah SWT kelak.

Maka, Melayu Muslim memikul tanggungan yang lebih berat untuk menunjukkan contoh sebagai khairu ummah. Ramai keluarga kami yang belum Muslim berusaha mengenal Islam. Jangan biarkan Islamofobia berlarutan bila segelintir umat Islam menghalalkan kata-kata kesat seperti Cina Babi dan menghalalkan rasisme dengan mengaitkannya dengan Islam.

Kami Pertubuhan Cina Muslim Malaysia atau MACMA, mempunyai 19 cawangan seluruh Malaysia, meminta pihak-pihak berkenaan untuk kembali menghayati Islam dan memohon maaf atas keterlanjuran kata.

Bak kata pantun Melayu:

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa.

Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat 49: 11 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mencemuh dan merendah-rendahkan kaum yang lain. Mungkin kaum yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka."

Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin, FASc
Presiden
Persatuan Cina Muslim Malaysia

KOMPLEKS PERKAYUAN KELANTAN BERKUBUR?

Saya telah mengirim surat memohon penjelasan mengenai beberapa isu yang saya kira penting dan perlu disegerakan berkait Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) kepada YAB MB Kelantan pada 7 September 2015.

Sehingga  hari ini (19hb September), saya tidak menerima apa-apa jawapan dari kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan.

Kedudukan KPK  sangat merosot bagi tahun tahun kebelakangan berbanding zaman kegemilangannya dahulu.

Satu cara untuk melihat kedudukan KPK ialah penyata untung rugi nya. Mengikut penyata kewangan yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) keuntungan KPK telah merosot dengan teruknya. Sebagai contoh, bagi tahun 2012 hingga tahun 2014 kedudukannya adalah seperti di bawah;

• 2012:

Pendapatan - RM24,673,571
Keuntungan Lepas Cukai - RM1,018,126

• 2013:

Pendapatan - RM14,745,426
Keuntungan Lepas Cukai - RM1,430,376

• 2014:

Pendapatan - RM12,923,615
Keuntungan Selepas Cukai - RM700,569

Dalam surat saya, saya telah memohon penjelasan mendesak iaitu kenapa KPK menyerahkan semua konsensi tebangan tahunannya seluas 2,000 ekar dengan harga yang sangat murah iaitu hanya RM 1,700 se ekar kepada syarikat lain.

Tindakan ini diikuti dengan pemberhentian  hampir kesemua pekerjanya. Syarikat menjadi seolah dormant dan tidak mempunyai apa-apa aktiviti lagi kecuali memungut bayaran atas konsensinya yang tidak seberapa.

Dalam kata lain, KPK telah berkubur!

Tetapi ada pihak lain yang akan terus mengaut kekayaan dari kawasan konsensinya setiap tahun!

Tidak kurang pentingnya adalah mengapa rancangan untuk mengutip  sejumlah RM 50 juta untuk Dana Rumah Mampu Milik Rakyat Kelantan gagal dan apa yg telah berlaku kepada kawasan hutan KPK seluas 20,000 ekar yang dikhaskan untuk tujuan itu.

Saya mengesyaki ada niat tersembunyi dari semua perkembangan ini ada kebocoran serius.

Sekalipun YAB MB tiada dalam negeri, saya yakin Pengerusi KPK sekarang dan bekas Pengerusi sebelum ini perlu mengambil tanggung jawab dan memberikan penjelasan penuh bagi pihak KPK.

Saya menuntut YB Zulkifli Mamat (bekas pengerusi dan ahli lembaga pengarah sekarang) dan YB Azami Mohd Nor ( Pengerusi kini) memberikan penjelasan terbuka yang diperlukan.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) juga dituntut untuk bertindak balas terhadap persoalan-persoalan yang saya bangkitkan dalam surat saya terdahulu.

Sekiranya tiada penjelasan memuaskan, saya akan mengambil tindakan lain seterusnya selepas satu tempoh dari kenyataan ini.

Sekian

Husam Musa
ADUN Salor
5 Zulhijjah 1436/19hb September 2015

Jumaat, 18 September 2015

AMANAH ALU ALUKAN SIDANG MEJA BULAT

Ketika menyampaikan Pidato Presiden pada Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (AMANAH) di Shah Alam, kelmarin, saya telah menegaskan betapa keperluan pakatan baharu perlu diwujudkan dengan segera.

Di Malaysia, apabila kita memilih cara demokrasi dan pilihan raya untuk memperoleh kuasa atau menambah kekuatan di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, maka tidak ada jalan lain melainkan mengadakan pakatan politik dengan parti-parti lain.

Untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN), parti-parti politik yang lain tidak boleh bersendirian, kerana BN menguasai sepenuhnya jentera kerajaan, media dan sebagainya. Hanya kesatuan rakyat melalui pakatan parti-parti politik sahaja jalan terbaik untuk membuat perubahan, seperti yang pernah dicapai Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Oleh itu, jemputan daripada Ketua Pembangkang Parlimen dan juga Presiden Parti Kedilan Rakyat, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail untuk diadakan sidang meja bulat membincangkan pembentukan pakatan baharu amat dialu-alukan.

Kami daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi komitmen penuh untuk hadir dan akan memberi pandangan-pandangan ke arah pembentukan pakatan baharu itu.

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
18 September 2015

Isnin, 14 September 2015

GHAIRAHNYA MAHU HANCURKAN RUMAHTANGGA

USTAZ AHMAD AWANG
Penasihat Umum Parti Amanah Negara

Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga bagi calon-calon PAS dalam pilihan raya umum yang lalu adalah suatu yang misteri.

Pimpinan pusat PAS berkali-kali menafikan wujudnya baiah tersebut sejak 2009 lagi.

Terbaru tiga hari yang lalu setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Datuk Nik Zawawi Salleh menegaskan bahawa mereka tidak pernah meluluskan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga itu.

Ini bererti PAS Kelantan tidak mematuhi keputusan MSU sekiranya benar baiah tersebut di kenakan ke atas wakil-wakil rakyat PAS di negeri tersebut.

Ini bermakna baiah sumpah baiah taklik talaq tiga tidak diperakui oleh ulama PAS sendiri.

Dan dengan sendirinya tindakan PAS Kelantan itu adalah bukti tidak walaknya mereka kepada kepimpinan ulama.

Maka tidaklah sepatutnya isu tersebut dibangkitkan oleh pimpinan PAS Kelantan khasnya apatah lagi pimpinan Pusat PAS amnya.

Kesungguhan sesetengah pemimpin PAS yang begitu ghairah mahu meruntuhkan rumahtangga di kalangan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang kini bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) menimbulkan kehairanan besar di kalangan masyarakat umum.

Seolah-olah mahu dipisahkan semua wakil-wakil rakyat ini dengan pasangan masing-masing tanpa sedikit pun ingin melihat hujah dan pandangan ahli fekah yang memberi jalan keluar kepada persoalan hukum menghiasi dada-dada media.

Tidaklah dinafikan adanya pendapat ahli fekah yang menghukumkan jatuh talaq dengan sumpah taklik oleh suami terhadap isterinya, tetapi ia tidak ada kena mengena dengan sifat taklik dalam baiah politik seperti yang dilakukan oleh PAS.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang bersungguh-sungguh ini seakan-akan mahu membalas dendam dan ‘gembira’ melihat rumahtangga sahabat yang dahulunya berjuang dalam PAS, runtuh dan musnah.

Seakan-akan tiada ruang untuk hujah menyelamatkan rumahtangga ini dikedepankan.

Islam diwajahkan dengan pandangan yang cukup jelek seolah-olah politik kepartian Islam ini kerjanya mencerai-berai rumahtangga orang semata-mata dengan cuba menjadikan perjuangan politik Islam sebagai alasan untuk mewajarkannya.

Institusi keluarga

Institusi keluarga merupakan entiti penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan negara, bahkan terhormat dan mulia kedudukannya di sisi Islam.

Melindungi keluarga termasuk dalam kategori melindungi kehormatan dan zuriat keturunan yang merupakan salah satu daripada maqasid (tujuan-tujuan) syariah yang lima perkara.

Jelas bahawa keutuhan integriti keluarga merupakan sesuatu yang dilindungi dalam syariat Islam.

Walaupun perceraian antara suami isteri dibolehkan dalam Islam tapi itu adalah perkara yang hanya wajar dilakukan dalam suasana yang amat mendesak dan tidak ada jalan keluar yang lain untuk mengatasi masalah rumahtangga.

Bahkan dalam masalah perbuatan ilaa’ atau bersumpah tidak menyetubuhi isteri dalam tempoh lebih empat bulan pun jelas kesukaan Allah terhadap pernikahan berbanding penceraian.

Allah S.W.T berfirman (Al-Baqarah, 226-227):

“...kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Dan pada waktu mereka berniat memilih talak, maka Allah berfirman:

“Dan jika mereka berazam (untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Syeikh Muhammad Shalih Al-Utsaimin menyebut dalam Durus wa Fatawa Haramul Makki:

“Ini menunjukkan bahawa Allah tidak suka terhadap orang yang memilih jalan talak daripada kembali menyambung tali pernikahan.”

Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap orang yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus adalah mempermain-mainkan kitab Allah.

“An-Nasai meriwayatkan dari Mahmud bin Labid: Bahawa ada seorang memberitahu kepada Rasulullah bahawa ada orang yang menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. Baginda bangkit dengan berang seraya berkata: Apakah ada yang berani mempermain-mainkan kitab Allah sedangkan aku masih hidup di kalangan kamu? Kemudian seorang bangun dan berkata di hadapan Rasulullah: Biar aku bunuh dia wahai Rasulullah?”

Walaupun akhirnya sahabat itu tidak dibenarkan meneruskan hasratnya untuk membunuh pihak yang menjatuhkan talak, peristiwa ini menunjukkan bahawa soal hubungan suami isteri dan keluarga sesuatu yang tidak wajar dihubungkaitkan dengan sebarang kepentingan politik kepartian.

Ini demi menjaga keutuhan dan nama baik keluarga itu sendiri.

Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 89:

“Allah tidak menghukum kamu lantaran sumpah-sumpah yang kamu lafazkan secara tidak sengaja, tetapi Dia menghukum kamu lantaran sumpah yang kamu sengajakan. Bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

"Sesiapa yang tidak berupaya untuk melunaskan denda tersebut, maka dia hendaklah berpuasa selama tiga hari. Ini sebagai denda penebus sumpah kamu apabila kamu terlanjur bersumpah. Oleh itu, berhati-hatilah apabila bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan titah perintah-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”

Umat Islam dituntut agar berhati-hati berkaitan dengan sumpah ini dan tidak bermudah-mudah mengheret institusi dan kehormatan keluarga dalam pertarungan politik kepartian.

Maksud firman-Nya: “Jagalah dan berhati-hatilah terhadap amalan sumpah di kalangan kamu.”

Dengan perkataan lain, jangan mempermudah dan memperbanyak sumpah dalam budaya hidup kamu.

Dalam sumpah laknat, rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya, sesuai dengan perutusan Islam itu sebagai Rahmat untuk seluruh alam.

Bermohon istighfarlah dengan Allah.

Sungguhpun mungkin si pelafaz sumpah telah memohon kecelakaan dan laknat terhadap dirinya, namun Allah bukan Tuhan yang suka-suka hendak menurunkan laknat kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Allah Maha Mengetahui bahawa sumpah itu bukanlah niat sebenar bagi calon itu melainkan hanyalah tatacara yang dipaksakan ke atasnya oleh partinya yang mahu memastikan calon itu patuh kepada parti berkenaan dan tidak melompat kepada parti lawan (Umno-BN).

Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang sama sekali tidak tunduk kepada kebencian dan kegeraman manusia pendendam yang mendoakan keburukan kepada orang yang hanya berbeza pendapat atau yang memasuki wadah politik Islam yang lain.

Apatah lagi si pelafaz sumpah berkenaan masih komited terhadap perjuangan Islam dengan wadah yang baru, bukanya melompat kepada parti lawan yang di maksudkan ketika melafazkan sumpah baiah dahulunya.

Realiti kerosakan masyarakat

Realitinya ketika ini, memang terdapat kerosakan masyarakat yang parah; rasuah dibudayakan demi memenangi tampuk kuasa dan pilihan raya.

Malah ada kerajaan yang sedia berkuasa di sesebuah negara lumrah membeli calon dan pemimpin dengan mengajukan rasuah bernilai jutaan ringgit.

Sehingga – dengan sebab itu – ada parti politik yang terlanjur melibatkan institusi keluarga untuk menjamin kesungguhan dan integriti calon mereka; agar tidak mudah dipujuk dan dibeli.

Mereka mengadakan semacam sumpah hingga mentaklikkan cerai isteri; baik satu atau tiga sekali gus dengan tindakan politik tertentu oleh penutur sumpah itu sendiri.

Amalan politik mempertaruhkan rumahtangga calon sememangnya tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Ia merupakan ciri warisan masyarakat jahiliah.

Kerana itu PAS sendiri melakukannya dalam keadaan misteri dan menyembunyikan amalan yang boleh mengaibkan imej parti.

Isnin, 7 September 2015

SENGAJA TEMPAH MAUT ?


WOW!!!,  Pas mahu meletakkan calonnya untuk bertanding kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini pada Pilihanraya umum ke 14 nanti. Begitulah kenyataan terbaru Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Menurut Abdul Hadi pihaknya kini sedang meneliti mengenai rancangan tersebut, termasuk pemilihan calon yang difikirkan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

Oh, patutlah nak lawan DAP sebab PAS sudah kuat, gagah, boleh bersendirian. Silalah Pas lawan DAP.

PAS pastinaya meletakkan calon bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas bagi mewakili parti itu berhadapan dengan DAP. Ertinya pertandingan tiga penjuru, BN, Pas dan DAP.

Betul ke nak lawan DAP ni, sudah buat kajian mendalam ke. Kot hilang wang deposit nanti.

“Pas tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calon kita, malah kini di peringkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihanaraya Pas dan pimpinan pusat untuk meletakkan calon bukan Islam bagi mewakili Pas.

“Saya yakin ada ramai wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas yang layak serta boleh diketengahkan menjadi calon kepada Pas nanti,” kata Ustaz Hadi Awang.

Kawasan yang dimenangi oleh DAP  adalah pengundi majoritinya bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Mampu ke Pas meraih kemenagan di situ?. Perkembangan politik semasa pengundi Cina sudah tidak percaya dengan Pas lagi, pastinya undi pun mereka tidak berikan .

Habis itu buat apa Pas bertanding di situ?. Pas mahu pecahkan undi agar BN boleh menang di situ ke?

Secara logiknya sukar bagi Pas untuk menang walaupun meletakan calon dari bukan Melayu di situ. Pas berangan angan boleh menang, hakikatnya Pas boleh kalah, mungkin hilang wang deposit jika letakkan calonnya di kawasan yang dimenangi DAP sebelum ini.

Pas hendak  berdakwah ke kepada bukan Islam masa kempen piliharaya nanti, nak berbicara soal hudud ke?. Atau sengaja untuk `berlawan' dengan DAP sebab DAP sudah jadi musuh nombor satu Pas?.

Mungkin Pas mahu mencipta sejarah baru, bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu dengan calonnya dari kalangan bukan Melayu juga.

Walaupun calonnya bukan Melayu, tetapi lambang parti bertanding tetap lambang bulan pernama, lambang PAs. Rasanya pengundi Cina tengok lambang Pas pun sudah `meloya' pastinya undi pun mereka tidak berikan.

Habis itu Pas nak dapat undi siapa. Mungkin dari undi Melayu kerana ada juga pengundi Melayu di kawasan Cina. Agak agaknya berapa  undi yang Pas dapat?

Di kawasan bercampur campur pengundi Melayu dan bukan Melayu pun Pas tewas sebelum bersama Pakatan Rakyat, ketika bersendirian dahulu. Sekarang mahu bersendirian untuk menentang DAP pulak di kawasan majoriti Cina pulak, `sengaja hendak tempah maut'.

Apa perkiraan dan perhitungan yang Pas buat sehingga berhajat besar untuk bertanding di kawasan DAP?.

Perkiraan rakyat yang logik akalnya, Pas jangan mimpi menang di kawasan bukan Melayu. Kalau bertanding juga, Pas sudah merelakan calonnya `tewas' sebelum hari pengundian.