Rabu, 22 Julai 2015

Berlapang Dada Aduhai Pimpinan Pas

Seorang demi seorang pimpinan Pas bersuara menggesa mereka yang terlibat dengan Gerakan Harapan Baru meninggalkan segera Pas.

Terbaru Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamad  bersuara lantang mendesak  geng GHB cepat cepat keluar parti, jangan tunggu parti baru telah ditubuhkan . Tak sabar nampaknya pimpinan PAS mahu kumpulan GHB `dinyahkan' dari parti itu.

"Kesemua pemimpin Pas yang terlibat dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) diminta segera keluar daripada Pas jika masih berhasrat membentuk sebuah parti politik baharu pada 14 September ini" katanya dalam kenyataannya di Utusan Malaysia hari ini.
.
Menurutnya pemimpin berkenaan tidak perlu menunggu sehingga tertubuhnya parti politik baharu untuk meninggalkan Pas secara automatik ke- rana tindakan mereka pada ketika ini merupakan satu bentuk pengkhianatan.

Beliau turut mengingatkan mereka yang terlibat dengan GHB agar kempen keahlian parti baharu itu nanti dibuka kepada orang lain di luar Pas dan jangan sesekali tarik ahli Pas menyertai parti itu,.

Pimpinan Pas sudah `kepanasan', ibarat `punggung terkena bara api', lantas melompat lompat sini dan sana. Lebel `pengkhianat' sudah mesra dibibiir pimpinan Pas, ditujukan kepada mereka tersingkir dalam pemilihan jawatankuasa parti itu lalu.

Soalnya kenapa masih bermain kata kata sahaja, pecat sahajalah mereka yang digelar `pengkhianat' itu. Kenapa lepas seorang demi seorang pemimpin Pas mendesak mereka yang bersama GHB keluar parti atau akan diambil tindakan pecat.

Kuasa ada pada tangan mereka,boleh kemukakan senarai nama mereka yang hendak dipecat itu untuk diambil tindakan segera. Kalau Bekas Naib Presiden PAS, Dato' Hasan Ali diambil tindakan pecat serta merta, kenapa mereka yang berada dalam GHB tidak dipecat?

Apakah Pas takut memecat mereka yang digelar pengkhianat? Atau cuma `acah acah '  sahaja, `nak dibuang terasa sayang, nak disimpan terasa sakitnya'.. Begitu ke?

Kalau sudah digelar pengkhianat `buang' sahajalah dari Pas, kenapa masih bermain dengan kata kata.

Keanggotaan parti baharu terbuka pada semua rakyat Malaysia, kenapa pimpinan Pas takut ahlinya `lari' menyeberang parti baharu. Bukankah ahli Pas cukup mantap tarbiyahnya, kenapa perlu bimbang ahli melarikan diri dari parti.

Mereka boleh berfikir dengan matang dan dapat menilai dengan bijak, kalau mereka meninggalkan Pas untuk pergi ke parti baru, jangan salahkan GHB. Mungkin mereka sudah hilang keyakinan dengan Pas yang diterajui pimpinan baru

Pimpinan Pas sewajarnya `berlapang dada' sekiranya ramai ahlinya `menyeberang ke kapal yang baru'.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan