Khamis, 20 Ogos 2015

"BERGEMBIRALAH PAS"


Menjelang 31 Ogos ini apabila parti Islam baru diisytiharkan, `lagu selamat tinggal Pas' mula berkemundang dan ianya pasti bertambah rancak bila parti baru itu secara sahnya berdaftar.

Sebelum ini pun sudah ada yang mengucapkan `sayonara' kepada PAS sama ada meletakkan jawatan dalam parti mahupun terus keluar dari Pas.

Suasana sebegini terus  berlaku dan dijangka lebih ramai lagi mereka yang mempunyai jawatan dalam Pas akan meletakkan jawatan dan keluar dari parti itu.

Semalam Pas telah `dikejutkan' kira-kira 400 ahli dan pemimpin PAS dari tiga kawasan PAS di Selangor mengumumkan meletak jawatan sama ada dalam parti atau jawatan yang mereka sandang, sementara menunggu untuk berpindah menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia termasuk 183 ahli dari kawasan Kota Raja, 227 ahli kawasan Kapar dan tiga orang dari kawasan Klang.

Naib Ketua PAS Kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bagi mengelak berlaku keadaan tidak menentu melanda PAS sebaik sahaja GHB menjadi sebuah parti politik dan lebih ramai ahli PAS keluar dan menyertainya.

Ketua kawasan tersebut Jaafar Samsuddin dan timbalan ketua, Norhalim Sirome dan Siti Mariah mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam satu sidang akhbar.

Ketua sembilan cawangan PAS dalam kawasan Kota Raja juga turut melepaskan jawatan masing-masing dalam parti itu.

Turut menyertai mereka ialah ahli jawatankuasa (AJK) kawasan Kapar, Razak Abdul Rashid dan AJK PAS kawasan Klang, Abdul Rashih Abdul Latiff.

Hari ini giliran kepimpinan PAS Shah Alam pula meletakkan jawatan mereka masing-masing. Dalam kenyataan bersama, mereka tindakan demikian dibuat demi bersama-sama dalam perjuangan Islam melalui wadah yang lebih mereka yakini.

Peletakkan jawatan itu melibatkan seluruh kepimpinan termasuk jawatankuasa Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS kawasan itu dibuat dalam mesyuarat kawasan itu malam tadi, kata mereka.

"Perletakan jawatan ini bukan bertujuan untuk melemahkan jentera PAS di Shah Alam, tetapi kerana ingin bersama usaha perjuangan Islam melalui wadah yang lebih kami yakini.

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua AJK PAS kawasan, dewan-dewan, ketua dan setiausaha PAS cawangan serta seluruh ahli-ahli PAS Kawasan Shah Alam yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang kami diamanahkan memimpin PAS kawasan Shah Alam," kata mereka.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan bekas yang dipertua Azli Yusof bersama timbalannya Zulkifli Mohd Nani serta naib Mohamad Jamil Abd Rahim.

Mereka berkata penyerahan tugas itu dilakukan kepada setiausaha PAS kawasan itu dalam suasana "penuh persefahaman dan kasih-sayang".

Terdahulu daripada ini, separuh daripada ahli jawatankuasa Pemuda PAS Shah Alam meletakkan jawatan kerana kurangnya kerjasama dan perbezaan dalam pelaksanaan wadah dengan PAS pusat dan negeri.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali ketika mengulas perkembangan tersebut seakan menyalahkan pihak tertentu memecahkan perpaduan PAS dengan menghasut ahli supaya keluar parti beramai-ramai.

Secara logiknya ahli ahli Pas telah ditarbiyah untuk memiliki jatidiri mereka, adalah mustahil mereka boleh terpedaya dengan ajakan GHB. Mereka menyertai GHB bukan kerana terpengaruh tetapi bertindak dengan fikiran yang matang.

Pimpinan Pas  perlu melakukan muhasabah kenapa ramai ahlinya menyeberang ke GHB, bukannya melontarkan fitnah yang tidak berasas.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya mengalu alukan mereka yang keluar parti untuk bersama Gerakan Harapan Baru dan menyifatkan tindakan beberapa kumpulan kecil ahli parti di seluruh negara yang mengumumkan keluar daripada PAS adalah sebagai satu proses pembersihan parti.

Sambil melahirkan ketidakbimbangannya dengan perkembangan itu, Haji Hadi menganggapnya sesuatu yang baik untuk parti.

" Tindakan keluar parti adalah pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri, bila berlaku banjir... bah, pasir pun berubah".

"Kita tak risau, tak risau... gembira, gembira... keahlian kita kini meningkat, dalam masa sebulan yang lalu, kita menerima 4,000 ahli baru yang didaftarkan dan masih ada 2,000 hingga 3,000 yang memohon keahlian tapi belum diproses.

Menjelang 31 Ogos  ini dijangkan akan ramai lagi yang meletakkan jawatan dan keluar dari Pas, mereka akan menyertai wadah baru, parti Islam baharu.

Jadi perlu apa Pas bersedih. Perlu apa Pas melenting kerana Pas sudah `dibersihkan'

"Bergembiralah Pas".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan