Selasa, 25 Ogos 2015

HENTIKAN SEGERA 'KEBANGSATAN' BANGSA

Dalam Surah Ali i'mran, Allah menyebut mengenai umat yang terbaik. Umat yang terbaik didirikan dengan keberanian melaksanakan dakwah. Dakwah bermaksud menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Dakwah adalah komitmen yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w yang mengakhiri kebangsatan bangsa Arab terhina dibelenggu kemungkaran dan jauh dari kebaikan.

Memang benar kebangsatan dan kesialan satu ummah atau bangsa adalah disebabkan kemungkaran yang bersarang dan berleluasa serta direstui oleh segenap kalangan.

Maka tidak hairan jika Sayyidina Umar al-Khattab r.a menganjurkan tunjuk perasaan berhampiran Ka'bah bagi memperihalkan bantahan mereka terhadap penafian hak beragama yang merupakan hak asasi manusia.

Kisah ini dipetik dan dijadikan hujah oleh Prof Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Tsaurah Sya'ab (Kebangkitan Rakyat).

Maka Maka dengan ini Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru umat Islam yang majoritinya Melayu menggunakan ruang hak asasi manusia seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dengan turun menyertai Perhimpunan Aman Bersih 4 pada 29-30 Ogos ini.

Kita mesti menghentikan kebangsatan umat Islam khususnya bangsa Melayu dengan keberanian menyatakan kebenaran. Keangkuhan dan kesombongan kepimpinan terhadap peringatan demi peringatan berkaitan rasuah, salah guna kuasa, penindasan, politik fitnah dan pembaziran tidak diendahkan selama ini.

ABIM juga menegaskan agar mesej dakwah ini tidak dicemari dengan perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah dan melampaui batasan undang-undang sehingga melanggar prinsip demokrasi berparlimen seperti vandalisme, provokasi melampau dan sebagainya.

Hentikan segera kebangsatan ini dengan dakwah.

Amidi bin Abdul Manan,
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia.
(ABIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan